16.04.2025 - JAMUAN HARI RAYA AIDILFITRI UNIT PRAKTIKUM
Rabu, 16 April 2025. Julung-julung kalinya Unit Praktikum IPG Kampus Ipoh mengadakan Jamuan Hari Raya Aidilfitri. Jamuan bermula dari jam 9.30 pagi hingga 3.00 petang itu sangat mendapat sambutan dalam kalangan warga IPG Kampus Ipoh. Pensyarah dan staf tidak melepaskan peluang untuk menikmati hidangan yang disediakan. Antaranya bihun goreng, nasi impit, lemang, kuah kacang, bihun sup, rendang ayam, ayam masak merah, aneka kek, aneka kuih-muih dan manisan, anek kuih-kuih raya, aneka buah-buahan, roti bakar, air teh o ais lemon, teh panas dan yang paling istimewa, nasi lemak berempah berserta lauk pauknya yang disediakan oleh Haji Abu dan Puan Hajah Rosmah.
Jamuan ini turut diserikan dengan kehadiran Dr Hamidah binti Samsudin, Pengarah IPG Kampus Ipoh. Turut diselangi dengan bacaan doa selamat oleh Dr Rizalman bersempena Puan Hajah Rosmah yang akan menjalani pembedahan mata dan Haji Nakhaie yang telah selamat menempuhi temuduga HLP. Kehadiran tetamu tidak putus sehinggalah saat akhir.
Kami memohon maaf kerana kehadiran tetamu yang luas biasa yang menyebabkan kesesakan dalam Unit Praktikum dan ada yang tidak mendapat tempat duduk. Jika diizikan Tuhan, tahun depan kami akan memasang khemah di depan unit bagi menyediakan lebih ruang kepada para tetamu untuk menikmati hidangan. Kami juga memohon maaf jika ada kekurangan sepanjang jamuan ini berlangsung.
Diharapkan dengan jamuan ini dapatlah semua warga IPG Kampus Ipoh mengeratkan silaturahim dan menyemai rasa kasih sayang antara kita. Jika ada lagi, jangan serik datang lagi.
11.04.2025 - KENAIKAN PANGKAT DG11 KETUA UNIT PRAKTIKUM
Jumaat, 11 April 2025. Unit Praktikum menzahirkan ucapan tahniah kepada Puan Saidatul Nadiah binti Shamsuddin atas kenaikan pangkat ke DG11 (DG48) yang diterima dalam Majlis Perhimpunan Organisasi IPG Kampus Ipoh Bulan April 2025. Dalam majlis tersebut, surat kenaikan pangkat disampaikan oleh YBrs. Dr. Hamidah binti Samsudin, Pengarah IPG Kampus Ipoh.
Diharapkan kenaikan pangkat ini dapat memberi manfaat dan pembakar semangat kepada Pn Saidatul atas usaha berterusan beliau dalam menguruskan Amalan Profesional IPG Kampus Ipoh. Tahniah, diucapkan!
30.03.2025 - ZIARAH EN. MOHD FAIZUL HAFIZ BIN A. RAZAK DI HOSPITAL TELUK INTAN
Ahad, 30 Mac. Menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Haji Nakhaie meluangkan sedikit masa untuk menziarahi En. Mohd Faizul Hafiz bin A. Razak di Hospital Teluk Intan. Beliau telah mengalami gangguan kesihatan sehingga menyebabkan jari kakinya terpaksa dipotong. Dalam ziarahan itu, En. Faizul menceritakan kronologi bagaimana kejadian itu berlaku.
Walaubagaimana pun, ketika laporan ini ditulis, kaki En Faizul yang sama terpaksa dipotong pada 11 April yang lalu. Berita ini disampaikan oleh mentee En Faizul kepada Haji Nakhaie.
Diharapkan En Faizul boleh sembuh segera dan dikuatkan semangat untuk menghadapi ujian ini. Kami di Unit Praktikum, tidak lupa untuk mendoakan kesejahteraan En Faizul sekeluarga. Amin.
22.03.2025 - PELANTIKAN NAIB YANG DIPERTUA PIBG SK PASUKAN POLIS HUTAN
Sabtu, 22 Mac. Pada Mesyuarat Agong PIBG SK Pasukan Polis Hutan baru-baru ini telah menyaksikan Haji Nakhaie telah terpilih sebagai Naib Yang Dipertua setelah pembubaran AJK sedia ada. Pelantikan ini merupakan kewajaran bagi setiap PIBG sekolah-sekolah seluruh Malaysia untuk mengadakan pilihan AJK baharu mengikut ketetapan dalam perlembagaan PIBG masing-masing.
Dengan pelantikan ini, diharapkan hubungan antara IPG Kampus Ipoh dan juga SK Pasukan Polis Hutan bertambah erat dan memudahkan urusan pada masa akan datang.
21.03.2025 - MAJLIS IFTAR DENGAN WARGA SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGAI RAPAT
Jumaat, 21 Mac. Haji Nakhaie telah berkesempatan memenuhi undangan ke Majlis Iftar SK Sungai Rapat. Majlis diadakan sebagai acara tahunan sekolah. Majlis ini bertujuan meraikan murid-murid dari keluarga B40. Turut disertai oleh warga sekolah, termasuk guru dan PIBG. Undangan lain juga terdiri daripada beberapa individu yang mempunyai hubungan rapat dengan sekolah.
Juadah yang disediakan tidak kurang sikitnya. Terdapat aneka kuih-muih, nasi beriani, kari kambing, ayam bakar, aneka gorengan celup tepung, kerang rebus, cendol, minuman panas dan juga hidangan teh ais khas dari Cameron Highland yang ditaja oleh syarikat swasta.
Dalam majlis ini juga, 4 orang pelajar yang berpraktikum di sini turut memberikan komitmen dalam menguruskan majlis ini. Mereka ialah Nur Aliah Insyirah Binti Md Zaman, Nur Arisya Binti Indra Shahril, Nur Dalida Zakirah Binti Zainol dan Nurin Tihani Binti Md Nasir. Mereka juga menerima pujian daripada Guru Besar dan juga pentadbir yang lain atas komitmen yang telah ditunjukkan mereka sepanjang tempoh mereka melaksanakan praktikum.
Diharapkan majlis seperti dapat diteruskan pada masa akan datang sama ada dengan tajaan ataupun tidak. Meraikan mereka yang tidak berkemampuan untuk terlebih utama. Kita juga kena cabangkan pandangan mata kita yang mana majlis berbuka puasa ini bukan saja keutamaan pada anak yatim sahaja, malahan mereka yang tidak berkemampuan juga perlu dipandang sama.