Amalan Profesional
Amalan profesional adalah
komponen penting dalam kurikulum perguruan yang berlandaskan hasrat dan
matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, visi dan
misi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Institut Pendidikan Guru
Malaysia (IPGM).  Amalan profesional di Institut Pendidikan Guru (IPG)
adalah landasan untuk pelajar mempraktikkan ilmu, kemahiran dan teori dalam
pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta menghasilkan teori PdP yang tersendiri.
 
Garis Panduan Pelaksanaan
Amalan Profesional ini digubal sebagai panduan dalam melaksanakan Amalan
Profesional bagi pelajar yang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan
(PISMP). Garis Panduan ini mengandungi maklumat berkaitan dengan 
Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS), Perancangan Pengajaran dan Pembelajaran,
Praktikum dan Internship. Maklumat tentang struktur
program, prosedur pelaksanaan, peranan dan tanggungjawab semua pihak yang
terlibat, panduan penggunaan borang dan kaedah penilaian dinyatakan secara
jelas.
Garis panduan ini perlu
dijadikan sebagai rujukan oleh pelajar, pensyarah penyelia, guru pembimbing dan
pengurus sekolah, bagi memahami dan menghayati peranan serta tanggungjawab
masing-masing dalam menjayakan Amalan Profesional. Di samping itu, garis
panduan ini juga dapat membantu pensyarah penyelia dan guru pembimbing 
dalam melaksanakan tugas bimbingan, penyeliaan  dan penilaian pelajar.
Selain itu, pihak
pengurusan Institut Pendidikan Guru (IPG) khasnya Unit Praktikum, pihak
pengurusan sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) boleh menggunakan garis
panduan ini untuk membantu mereka melaksanakan tugas-tugas pengurusan dan
pentadbiran yang berkaitan dengan Amalan Profesional. Tugas-tugas yang
dimaksudkan ini meliputi urusan pelantikan, penempatan, penyeliaan, pemantauan
dan penyelarasan Amalan Profesional.
Garis panduan ini perlu
dijadikan sebagai rujukan untuk membantu usaha menjayakan Amalan Profesional ke
arah memberi sumbangan bermakna dalam menyempurnakan Program Pendidikan Guru
kendalian IPGK selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
2013 – 2025.
- Pengalaman
     Berasaskan Sekolah – Pengalaman Berasaskan Sekolah
     (PBS) memberi kefahaman awal kepada pelajar tentang alam persekolahan
     daripada perspektif seorang guru. Melalui PBS pelajar dapat memahami
     sistem pengurusan sekolah, tingkah laku murid, pengurusan bilik darjah dan
     tugas sebenar seorang guru.
 - Perancangan
     Pengajaran dan Pembelajaran – Perancangan Pengajaran dan
     Pembelajaran adalah kursus yang ditawarkan pada pelajar semasa di Semester
     2 Tahun 2. Kursus ini memfokuskan kepada perancangan PdP, profesionalisme
     guru, pengajaran mikro, pengajaran makro dan komuniti pembelajaran
     profesional.
 - Praktikum – Praktikum
     ialah latihan mengajar yang merupakan komponen wajib dalam program
     pendidikan guru. Praktikum memberi peluang kepada pelajar untuk
     mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai keguruan secara reflektif
     dalam situasi sebenar di bilik darjah dan sekolah. Pelaksanaan
     praktikum  memberi tumpuan kepada proses PdP dengan bimbingan
     pensyarah penyelia dan guru pembimbing melalui perkongsian pintar dan
     permuafakatan antara sekolah, IPG dan agensi-agensi KPM.
 - Internship
     – Internship
     ialah satu program latihan lapangan yang bertujuan untuk mengaitkan
     pengetahuan, kemahiran dan  pengalaman sedia ada dengan amalan
     sebenar tugas guru permulaan. Semasa Internship, pelajar perlu
     menunjukkan sifat kepimpinan dalam pengurusan pelbagai aktiviti sekolah
     dengan bimbingan mentor. Ini memberi peluang kepada pelajar membentuk
     sifat kepimpinan serta memupuk nilai profesionalisme keguruan ke arah
     menjadi guru permulaan yang berkesan. Semasa pelaksanaan
     Amalan Profesional, keutamaan diberikan kepada penyeliaan klinikal dan
     bimbingan. Mekanisma ini memerlukan jalinan kerjasama dan perkongsian
     pintar antara IPG dan sekolah. Permuafakatan yang mantap dan berstruktur
     ini dapat membantu perkembangan profesionalisme pelajar.
 


No comments:
Post a Comment